Assalamualaikum semua. Ini adalah entri pertama edy di bulan syawal kali ini setelah sekian lama meninggalkan seketika blog edy ni. Terlebih dahulu edy mohon maaf kepada semua pembaca dan rakan-rakan blogger edy kerana edy meninggalkan blog edy bersawang sementara waktu ketika bulan ramadhan yang lalu. Ini kerana edy sibuk sedikit dengan kerja dan menghabiskan masa bersama keluarga. Jadi, sekarang edy kembali semula ke blog ini untuk berkongsi dengan korang semua apa saja yang terkini, yang pelik lagi segar dari ladang. [sempat lagi keluarkan trademark. hehehe...]
***
Sebut pasal batu nisan, mesti ada di antara yang korang yang berasa agak gementar, kan? Dan, kepala kita terus terbayang secara automatiknya ke satu kawasan, iaitu tanah perkuburan. Kali ni, edy bukan nak kongsi dengan korang cerita pasal tanah perkuburan, tetapi mengenai sebuah artikel mengenai sebuah perkampungan yang diberi gelaran lubuk batu nisan. Jom kita baca sama-sama.
Tanda Nama Istimewa Si Mati |
KAMPUNG Dumpil Keramat dan segala isi penghuninya memang unik. Kampung yang terletak di Putatan, Sabah itu telah lama menjadi saksi kepada keistimewaan pertukangan tangan penduduknya.
Bagaimanapun, pertukangan yang disebut-sebut ramai itu bukanlah melibatkan raga rotan, seni kayu atau kaca mahupun kraf dekorasi yang lazim diusahakan secara tradisi di desa.
Melewati jalan masuk ke kampung yang terletak kira-kira 13 kilometer dari Kota Kinabalu itu sahaja sudah mencuri perhatian ramai. Deretan pondok kecil yang mempamerkan susunan batu nisan dan pusara (bakun) sudah cukup mengundang pelbagai perasaan yang bercampur-baur
Bagi mereka yang baru kali pertama mengenali kampung itu, batu-batu nisan itu adalah suatu petanda bahawa mereka sedang melintasi sebuah kampung yang ramai penduduknya menghasilkan keperluan bagi perjalanan akhir hayat manusia.
Oleh kerana masyarakatnya banyak melibatkan diri dengan pembuatan penanda kuburan itu, kampung tersebut dikenali dengan jolokan 'lubuk batu nisan' oleh masyarakat setempat dan sekitarnya.
Bagi ramai orang, batu nisan dilihat sebagai lambang yang menandakan noktah sebuah kehidupan. Ia juga dikaitkan dengan emosi hiba dan kepiluan selain sesetengah yang lain percaya ia mempunyai kaitan dengan dunia mistik yang menakutkan. Walau apapun penerimaan dan persepsinya, penduduk di Kampung Dumpil Keramat menganggapnya sebagai sumber rezeki.
Paling popular pastinya perusahaan Century Enterprise, iaitu syarikat milik bekas pemain sepak takraw Sabah, Sharif Banisadr Hashim.
Hanya tanda nama
Ketika anak muda lain lebih berminat menceburi bidang profesional, Sharif yang baru berusia 30 tahun adalah contoh anak muda yang memiliki pendekatan berbeza dalam mencari rezeki.
Memiliki pengalaman lima tahun sebagai kuli di sebuah kedai pembuatan batu nisan, Sharif pantas menimba pengalaman seterusnya mengambil peluang menubuhkan syarikat sendiri di atas nama Century Enterprise sejak 2007.
"Saya tidak mempunyai pendidikan yang tinggi dan hanya bersekolah setakat tingkatan lima. Saya bermula sebagai seorang kuli dengan kerja hakiki adalah pembancuh simen.
"Bagaimanapun, saya melihat potensi yang tinggi pada perniagaan ini. Saya tahu, batu nisan adalah benda yang sensitif, tetapi atas niat untuk mencari rezeki yang halal, isu tersebut terpaksa saya ketepikan," jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Sharif, pandangan orang ramai yang menganggap pembuat batu nisan sepertinya selalu mengharapkan kematian bagi mendapat rezeki turut disangkal.
"Kami tidak pernah meminta kematian ataupun mendoakan kematian. Tetapi harus diingat, kematian adalah sesuatu yang pasti.
"Batu nisan dan pusara yang kami usahakan ini hanyalah semata-mata tanda nama bagi si mati," ujarnya.
Pelbagai jenis
Mengulas lanjut, Sharif yang dibantu kakaknya, Sharifah Nordie Sharif Hashim, 36, berkata, proses pembuatan batu nisan dan pusara bukanlah sesuatu yang sukar, tetapi memerlukan ketelitian serta ketepatan.
Tambahnya, setiap batu nisan perlu dihasilkan dengan kualiti yang baik bagi memenuhi permintaan keluarga si mati.
"Batu nisan ada tiga jenis iaitu nisan bulat, nisan persegi dan nisan jubin. Bentuknya pula pelbagai iaitu bulat, leper, kecil ataupun bersaiz besar dan dijual pada harga RM50 hingga RM250.
"Bagaimanapun, ada sesetengah pelanggan yang mahukan nisan dan pusara yang diperbuat daripada batu marmar. Nisan ini cukup mahal kerana bahan yang digunakan sukar untuk diperoleh," katanya.
Ujar Sharif, harga bagi nisan marmar biasanya mampu mencecah sehingga RM1,800 sebatang sementara bagi pusara pula adalah RM8,000.
Bagi memenuhi permintaan, beliau terpaksa mengupah lapan pekerja bagi membantunya menyiapkan tempahan.
Setiap pekerja yang diupah mempunyai kemahiran masing-masing sama ada dalam pembuatan batu nisan jubin ataupun pusara.
"Untuk sebatang batu nisan, kami memerlukan sekurang-kurangnya tiga hari untuk menyiapkannya termasuk proses mengilat dan menulis nama si mati.
"Namun, ia bergantung kepada saiz yang diminta kerana ada sesetengah pelanggan yang mahukan batu nisan besar yang mencecah berat sehingga 20 kilogram," jelasnya yang mampu menyiapkan 250 batang batu nisan dan 40 pusara dalam sebulan.
Dieksport ke luar negara
Dalam pada itu, kakak Sharif, Sharifah yang bertanggungjawab bagi menulis dan menghias batu nisan mengakui mereka bukan sahaja membuat tempahan untuk negeri Sabah, malah batu nisan yang dihasilkan turut dieksport ke Indonesia dan Filipina.
Jelas Sharifah, hasil tangan syarikat itu turut mendapat perhatian orang-orang kenamaan termasuklah dari Brunei.
"Kami memang mementingkan kualiti dan sebab itu ada pelanggan dari negara luar seperti Indonesia, Filipina dan Brunei yang sanggup membuat tempahan daripada kami.
"Mereka akan datang ke sini dan membeli terus batu nisan yang telah siap. Kemudian mereka akan memasangnya sendiri di pusara ahli keluarga mereka," katanya.
Bagaimanapun katanya, Century Enterprise turut menyediakan perkhidmatan sokongan seperti pengangkutan dan pemasangan batu nisan serta pusara.
"Bagi kawasan berhampiran, kami ada menawarkan pakej penghantaran dan pemasangan batu nisan serta pusara.
"Biasanya, pusara yang dipasang akan disiapkan sepenuhnya di bengkel sebelum dibawa ke tanah perkuburuan," ujarnya.
Beliau turut berkongsi cerita bahawa ada pengunjung dari negeri di Semenanjung Malaysia yang kebetulan datang ke Sabah untuk bercuti telah tertarik dengan hasil pembuatan nisan oleh adiknya.
Penduduk kongsi rezeki
Perkembangan positif yang dirai syarikat Century Enterprise hasil daripada perniagaan batu nisan dan pusara mendorong beberapa individu lain untuk mencuba nasib.
Paling menarik, kebanyakan pengusaha batu nisan di kawasan ini adalah penduduk Kampung Dumpil Keramat dan mereka yang pernah berkerja di bawah Century Enterprise.
"Di kawasan kami sahaja ada tiga pengusaha batu nisan. Ia adalah persaingan yang sihat kerana kami juga saling membantu antara satu sama lain
"Pelanggan yang datang mempunyai cita rasa sendiri dan dengan adanya bengkel-bengkel lain, maka ia akan memberi lebih banyak pilihan," tambah Sharif.
Dalam pada itu, Sharif turut mengakui tidak semua hasil kerja syarikatnya mampu memuaskan hati pelanggan.
Namun, setiap kritikan yang diterima daripada pelanggan dianggapnya sebagai rahmat untuk menghasilkan batu nisan berkualiti tinggi.
"Ada yang mengadu cat pada batu nisan tertanggal dan ada juga yang mengadu pusara yang dibina berlubang-lubang. Inilah asam garam yang perlu kami terima.
"Apapun, niat kami untuk melakukan kerja ini bukanlah semata-mata untuk mencari duit, tetapi demi memenuhi permintaan pelanggan yang mahu menyediakan sebuah tanda nama istimewa kepada mereka yang telah meninggal dunia.
[ sumber ]
0 orang dah puas hati:
Post a Comment