Bekas Tahanan Perang Jepun Lancar Buku


SANDAKAN – Seorang bekas anggota tentera Australia yang pernah menjadi tahanan perang (POW) pihak Jepun semasa Perang Dunia Kedua melancarkan buku yang memuatkan kisah hidupnya malam tadi.

Buku bertajuk “The Boy from Bowen – Diary of Sandakan Pow” dilancarkan sendiri oleh Leslie Bunn Glover, 92, di kediaman rasmi Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk James Wong, sempena majlis makan malam bagi meraikan tetamu Hari Anzac yang turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Miles Kupa.
Buku itu menceritakan pengalamannya menjadi tahanan perang semasa berumur 20.
Beliau menyertai tentera sebagai anggota kadet ketika berumur 16 tahun hingga mencapai pangkat Leftenan sebelum dihantar bertugas di Singapura di mana beliau kemudiannya ditahan dan dihantar menjadi buruh paksa tentera Jepun di Sandakan dan Kuching selama hampir empat tahun.
Glover berkata, beliau memilih untuk melancarkan bukunya di Sandakan kerana kebanyakan pengalamannya yang diceritakan dalam buku tersebut berkisar semasa beliau menjadi tahanan di Sandakan.
Katanya, anak-anaknya sudah meminta beliau menulis mengenai pengalamannya itu dan beliau kemudiannya mencetak sebanyak 1,000 naskah buku tersebut yang kini sudah dijual. – BERNAMA

0 orang dah puas hati: