Hadis Palsu Popular #3 Yasin Hati Al-Quran


Edy mohon maaf sebab agak lama tak buat entri untuk perkongsian hadis palsu popular yang edy petik daripada buku 40 Hadis Palsu Popular yang ditulis oleh Abdul Razak Muthalib dan diterbitkan oleh PTS Islamika. Ok, kali ni edy nak berkongsi lagi dengan korang tentang hadis palsu yang popular di kalangan masyarakat Islam di negara kita dan jugak di tempat lain. Kali ni hadis palsu popular berkenaan dengan Surah Yasin.

Hadisnya berbunyi seperti ini:

"Sesungguhnya bagi sesetiap suatu itu mempunyai hati dan hati al-Quran adalah Yasin. Siapa yang membaca Yasin akan dicatatkan oleh Allah baginya dengan bacaan tersebut seperti membaca al-Quran sebanyak sepuluh kali."

Hadis ini disampaikan oleh Tirmizi dalam al-Jami' daripada Anas bin Malik. Rangkaian sanad keseluruhannya ialah:

Tirmizi menceritakan kepada kami iaitu Qutaibah dan Sufian bin Waki', mereka berkata Humaid bin Abd al-Rahman al-Ruasi menceritakan kepada kami, daripada al-Hasan ibn Saleh, daripada Harun Abu Muhammad, daripada Mutaqil bin Hayyan, daripada Qatadah, daripada Anas. Kemudian Tirmizi berkata:

"Terdapat keraguan pada hadis ini. Kami tidak mengetahuinya melainkan Humaid bin Abd al-Rahman dan tidak diketahui hadis ini daripada Qatadah di Basrah kecuali melalui sumber ini, dan Harun Abu Muhammad adalah seorang yang majhul (tidak diketahui latar belakangnya).

Sekarang kita dengar pulak ulasan para sarjana hadis tentang hadis palsu ini:

  • Ibn Abi Hatim di dalam Ilal Al-Hadith menyebut beliau pernah bertanya ayahnya tentang hadis Anas ini maka ayahnya berkata: "Muqatil tersebut adalah Muqatil bin Sulaiman. Aku sudah melihat hadis ini pada awal kitab yang direka oleh Muqatil bin Sulaiman dan ini adalah hadis yang batil dan tidak ada asal sumbernya.
  • Menurut Az-Zahabi dalam Mizan Al-I'tidal, Muqatil dalam sanad hadis bukanlah Ibn Hayyan tetapi sebenarnya ialah Muqatil bin Sulaiman. Ini juga seperti dinyatakan oleh Abu Hatim. Berdasarkan sanad, hadis ini adalah palsu kerana Waqi', Muqatil bin Sulaiman adalah seorang pendusta.
  • Ibn al-'Arabi di dalam A'ridhat Al-Ahwazi menyatakan: "Hadis ini daif (yakni tentang surah Yasin) dan tidak diterima. Bagi kebanyakan orang, mereka mempunyai pelbagai pandangan, riwayat dan huraiannya, dan semua itu tidak ada asal sumbernya. Abu Daud juga sudah melaporkan hadis, 'Bacalah Yasin ke atas mereka yang hampir mati' dan ia tidak sahih."
  • Al-Albani dalam Silsilah Ahadith Al-Dhaifah wa al-Maudhua'h menyatakan hadis ini palsu.


Bagi mereka yang berkemampuan dan inginkan penjelasan yang lebih mendalam, boleh merujuk buku karangan Muhammad Amru bin Abd al-Latif: "Hadith: Qalbu al-Quran Yasin fi al-Mizan wa jumlat mimma ruwiya fi fadhliha" terbitan Maktabah al-Tarbiyah al-Islamiyah, Mesir. 

Jadi marilah kita sekilas pandang tentang hadis palsu yang popular tentang Yasin. Mungkin ada orang akan berkata: "Apa salahnya membaca Yasin pada malam Jumaat? Bukankah Yasin juga ayat Al-Quran?". Katakan pada mereka: "Ya, memang tidak salah membaca Yasin malam Jumaat, kerana Yasin juga ayat al-Quran. Ia  boleh dibaca pada bila-bila masa sahaja, tetapi, kenapa mesti hanya surah Yasin? Al-Quran bukan surah Yasin sahaja. Kenapa mesti hanya pada malam Jumaat? Boleh atau tidak dibaca pada malam-malam lain?"

Jadi, apa yang tidak tepatnya ialah apabila amalan ini khusus. Siapakah yang menetapkan kelebihan-kelebihan khusus. Siapakah yang menetapkan bahawa malam Jumaat mesti baca Yasin? Siapakah yang menjanjikan kelebihan khusus kepada mereka yang membaca Yasin pada malam Jumaat?

Oleh itu, surah Yasin boleh dibaca pada bila-bila masa sahaja sama sahaja seperti kita membaca surah-surah yang lain. Pada malam jumaat pula boleh dibaca apa-apa surah sahaja. Mengikut pilihan kita, tanpa dikhususkan surah Yasin semata-mata. 

Namun begitu, terdapat beberapa surah yang disebutkan kelebihannya secara khusus di dalam hadith-hadith yang sahih. Antaranya adalah: 

"Siapa yang membaca Al-Kahfi pada hari Jumaat dia akan diterangi cahaya di antara dua hari jumaat." 
(Diriwayatkan oleh Al-Nasai dan Al-Baihaqi. Hadith ini dinilai sahih oleh Al- Albani) 

Dalam hadith diriwayatkan oleh Ad-Darimi: "Siapa yang baca surah Al-Kahfi pada malam jumaat dia akan diterangi cahaya di antara dirinya dan Bait Al-Atiq."

Jadi, berdasarkan hadis ini, kita digalakan membaca surah Al-Kahfi pada malam atau hari Jumaat dan ianya dijanjikan dengan kelebihan yang khusus. Berbeza dengan amalan baca Yasin pada malam Jumaat, tidak ada dalil sahih yang menjanjikan kelebihan khusus bagi amalan tersebut. Dalam hadis yang lain, disebutkan lagi kelebihan yang terdapat surah Al-Kahfi iaitu: 

"Siapa yang menghafal 10 ayat awal surah Al-Kahfi, dia akan terpelihara daripada Dajjal." 

Antara surah lain yang dinyatakan kelebihannya yang tersendiri ialah surah Al-Baqarah, iaitu dua ayat terakhir:

"Siapa yang baca dua ayat terakhir dari surah Al-Baqarah pada satu malam, maka sudah cukup baginya."
                                                                                      (Diriwayat oleh Bukhari dan Muslim.)


p/s daripada edy: ini sekadar perkongsian ilmu untuk korang. jika tidak faham atau ragu-ragu silalah bertanya kepada mereka yang lebih arif dalam bidang hadis dan al-Quran ok.

1 orang dah puas hati:

Anonymous said...

minta maaf benda ni benda basi, benda lama ... dah dijawab berpuluh2 kali, samaada tokoh kecil/besar di pelbagai media mahu pun kuliah. kita sedar semua fenimena ini, masalahnya mereka yang menentang yasin ini IALAH mereka tidak berani tampil atau meluangkan masa bila dijemput hadir untuk muzakara, debat, bincang isu ini. Buktinya pada sept 2007 Ustaz asri yang menyatakan untuk menyahut anjuran ABIm n NGOs islam untuk diskusi tidak hadir(mulanya setuju hadir)Di UUM! kalau ilimu sendiri pun tak yakin, bagaimana masyarakat agama nak yakin apa pendapat yang dibawa...