Istana Budaya Cari Bakat Baru


KUALA LUMPUR – Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya akan mengadakan sesi uji bakat untuk golongan dewasa dan kanak-kanak yang berbakat dalam bidang muzik tradisional pada Mei depan.



Unit Perhubungan Awam Istana Budaya melalui satu kenyataan media memberitahu, uji bakat tersebut akan diadakan di Istana Budaya di ibu negara bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang pada 5 dan 6 Mei 2012.
“Para peserta yang berminat bagaimanapun perlu membuat pendaftaran bermula pukul 8.30 hingga 9.30 pagi sebelum uji bakat dilakukan pada hari terbabit dan penyertaan terhad kepada warga Malaysia.
“Uji bakat melibatkan kemahiran menggunakan alat muzik Gamelan, Caklempong, Serunai, Seruling, Rebab, Sape ensemble, Gambus ensemble, Mandolin dan Perkusi Melayu,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, antara syarat yang ditetapkan adalah peserta perlu berusia antara 15 hingga 25 tahun dan boleh membaca nota muzik dengan baik.
Kata kenyataan itu, sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Muzik ditalian 03-40265554 atau emel kepada muzikib@gmail.com atau layari facebook Istana Budaya dan Orkestra Tradisional Malaysia.

0 orang dah puas hati: