Pukat Tunda Saiz Mega Jejas Ekosistem Laut



KUALA TERENGGANU — Demi mengaut keuntungan besar, sesetengah nelayan sanggup membelakangkan undang-undang dengan menukar taktik menggunakan pukat tunda bersaiz mega tanpa memikirkan ekosistem laut yang bakal terjejas teruk.


Taktik baru penyalahgunaan pukat tunda tersebut telah dikesan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur.
Nelayan berkenaan menggunakan pukat tunda dua kali lebih besar dari saiz biasa dengan menggunakan dua buah bot menarik serentak pada jarak satu batu antara satu sama lain.
Ketua Penguatkuasa APMM Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim Nasir Adam berkata, sehingga April tahun ini sahaja, tiga kes direkodkan di negeri Pantai Timur iaitu melibatkan enam bot dan dilihat mula menular di kalangan nelayan, terutamanya di Terengganu dan Kelantan.
“Taktik ini sebenarnya mula digunakan oleh nelayan Vietnam sejak beberapa tahun lalu dan kita dapati ada nelayan tempatan yang mula mengikutinya bagi mengaut untung berganda.
“Daripada kes yang kita rekodkan, terdapat pengusaha tempatan yang menggaji tekong dan awak-awak asing untuk menggunakan taktik berkenaan. Ia perlu dikekang awal memandangkan kaedah ini akan menjejaskan hasil laut dan ekosistem kita untuk jangka masa panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis penyerahan tugas Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Kuala Terengganu, Kapten Maritim Adam Aziz kepada Kapten Maritim Xavier G.Thevadas di Pejabat APMM Daerah Kuala Terengganu di sini semalam. — BERNAMA

0 orang dah puas hati: